Sunday, February 8, 2009

Perutusan Oleh SENIOR PASTOR JERRY DUSING Presiden Sidang Injil Borneo (SIB) Sabah, merangkap Presiden Majlis Gereja-Gereja Sabah (MGGS)

Kita berasa bangga kerana di tengah tengah kita telah wujudnya seorang penulis yang telah dengan gigihnya menghasilkan satu penulisan yang dapat memberi input mengenai nekromansi, satu amalan yang dikutuk Tuhan. Untuk menulis buku ini bukanlah mudah, ia memerlukan banyak komitmen, bahkan penyelidikan yang menyeluruh.

Namun, saya percaya, apa yang ditabur oleh penulis ini, tidak akan sia-sia. Topik-topik yang diketengahkan mampu membuka minda kita tentang beberapa perkara. Saya berharap supaya kita, sebagai masyarakat Kristian, tidak leka dengan beberapa keindahan dunia yang telah mengaburi pemikiran manusia. Kita harus memandang dengan kaca mata kebenaran, kerana dengan kebenaranlah kita dapat melihat dengan lebih jelas.

Masih ramai diantara masyarakat Kristian pada hari ini yang terus mengamalkan beberapa amalan yang tidak menyenangkan Tuhan. Adakah ini disebabkan pengaruh budaya yang sudah diwarisi dari generasi ke generasi atau kita dengan sengaja enggan memisahkan diri dengan amalan-amalan ini yang sudah sebati di dalam diri kita? Ulangan 18.9-12 mengingatkan kita dengan berkata: “Apabila engkau sudah masuk ke negeri yang diberikan kepadamu oleh Tuhan …maka janganlah engkau belajar berlaku sesuai dengan kekejian yang dilakukan bangsa-bangsa itu. Di antaramu janganlah didapati seseorang pun yang mempersembahkan anaknya laki-laki atau anaknya perempuan sebagai korban dalam api, ataupun seorang yang menjadi petenung, seorang peramal, seorang penelaah, seorang penyihir, seorang pemantera, ataupun seorang yang bertanya kepada arwah atau kepada roh peramal atau yang meminta petunjuk kepada orang-orang mati. Sebab setiap orang yang melakukan hal-hal ini adalah kekejian bagi Tuhan, dan oleh kerana kekejian-kekejian inilah Tuhan…menghalau mereka dari hadapanmu” (Ulangan 18:9-12).

Saya berharap dengan terbitnya buku ini, anda pembaca akan memperoleh manfaat dan menghargai setiap perkataan yang telah disusun dengan teliti. Saya juga berharap supaya pada masa-masa akan datang, gereja kita, walau apa pun denominasi atau latar belakangnya, akan mampu melahirkan lebih ramai penulis yang dapat mengupas lebih banyak topic yang akan membuka minda dan mendekatkan kita dengan kebenaran Firman-Nya.

Senior Pastor Jerry Dusing
Kota Kinabalu
28 October 2008

No comments:

Post a Comment